Wednesday, March 24, 2010

POKOK SAKIT

Berita Minggu 21 Mac 2010



Kenali gejala penyakit pokok hiasan dalaman.

PADA keluaran lalu, ada diterangkan berkenaan dengan pokok hiasan dalaman yang bagi saya, amat baik untuk dipraktikkan pada setiap ruang kediaman mahupun ruang bekerja. Saya sendiri bekerja dengan agensi kerajaan dan ada beberapa pokok hiasan diletakkan di kawasan tertentu. Saya dapati, ada beberapa tanda pada pokok seperti kekuningan dan kering walaupun dijaga pihak pembekal pokok berkenaan. Apakah punca serta bagaimana cara mengatasinya?

ANTARA sebab utama berlaku keadaan pokok tidak sihat, berpenyakit adalah berpunca daripada persekitarannya yang tidak sempurna dari segi penerimaan cahaya, kelembapan dan sebagainya. Berikutan gejala yang selalu dihadapi pokok hiasan dalaman :

1. Bahagian atas daun kekuningan.

Ini disebabkan kekurangan unsur nutrien pada tumbuhan. Penggunaan baja yang sesuai hendaklah diutamakan.

2. Permukaan daun berwarna hijau pudar, kusam dan tidak menarik.

Ia disebabkan banyak terdedah kepada cahaya matahari secara langsung. Kemungkinan juga diserang masalah Red Spider Mite selain permukaan terdedah kepada habuk dan debu (perlu dibersihkan menggunakan semburan halus atau sapu dengan kain lembap pada permukaan daun).

3. Tompok berwarna coklat keperangan.

Jika tompok berwarna perang dan rapuh ia dikenal pasti berpunca daripada kekurangan air. Andai berwarna perang gelap dan lembut, biasanya pokok terlebih siraman air. Jika tompok berwarna keputihan bermakna ia disebabkan percikan air pada bahagian permukaan daun, aerosol dan kerosakan akibat serangan penyakit/serangga. Juga kerosakan pada permukaan daun disebabkan serangan serangga perosak dan ulat pemakan daun.

4. Hujung daun keperangan.

Disebabkan kelembapan rendah dan menyebabkannya kering. Hujung daun yang kerap terdedah kepada sentuhan seperti terkena dinding atau sentuhan manusia. Seandainya hujung daun berwarna kuning keperangan, ia mungkin disebabkan siraman air tidak sekata, pencahayaan tidak sesuai, suhu persekitaran dan lihat juga gejala yang wujud bersama.

5. Daun bergulung dan seterusnya gugur.

Petanda keadaan sekitaran yang terlalu lembap dan siraman berlebihan.

6. Daun Layu.

Ini disebabkan media yang keras dan kering (disebabkan kurang siraman) ataupun berlaku pengumpulan banyak air dalam media (disebabkan terlebih siram serta saliran yang tidak baik pada pasu). Juga mungkin disebabkan terlalu banyak pencahayaan (tanda dilihat kerap berlaku terutama pada waktu siang/tengah hari). Mungkin perlu lihat juga pada keadaan akar yang sudah padat dan disebabkan serangan makhluk perosak.

7. Daun gugur secara tiba-tiba.

Pada kebiasaannya berlaku tanpa gejala seperti layu, kerinting daun dan sebagainya, mungkin disebabkan oleh kejutan persekitaran kepada sistem pokok. Kebanyakan isu utama adalah disebabkan perubahan ketara suhu dan pencahayaan. Daun pokok baru gugur Satu kebiasaan selepas pokok dipindah pasu, akan menyebabkan daunnya gugur sehingga beberapa helai daun. Maka, pastikan pergerakan pokok yang minimum terutama sewaktu berpindah lokasi, gunakan pasu yang lebih besar sedikit dari saiz polibeg. Jangan sesekali pindahkan pokok daripada kawasan teduh ke kawasan terang tanpa letakkan pokok berkenaan beberapa hari pada keadaan pencahayaan sederhana.

8. Daun bertukar kekuningan.

Untuk daun matang bertukar kuning kemudian gugur adalah biasa, tetapi bila berlaku untuk beberapa helai daun dengan serentak, antara penyebab utama adalah terlebih air.

9. Daun kering.

Disebabkan tiga punca utama, kurang pencahayaan, suhu panas serta kekurangan siram air.

10. Pertumbuhan pokok terbantut.

Kekurangan nutrisi, pembajaan, kekurangan air, pencahayaan kurang. Kemungkinan juga akar padat pada media, teknik menukar pasu juga boleh digunakan.

11. Putik bunga gugur.

Udara kering (kelembapan rendah), kekurangan air serta pencahayaan, terlalu kerap pindah pasu. Kemungkinan juga serangan serangga perosak.

12. Daun, batang merekot.

Disebabkan oleh serangan penyakit yang berpunca dari keadaan pembesaran pokok yang tidak baik seperti lebihan siraman air ataupun takungan/tompok air pada daun terutama di waktu malam.

13. Lumut pada pasu.

Tanda yang nyata ialah lebihan siraman air atau lubang pengairan pada pasu yang tersumbat.

14. Daun berlubang.

Punca disebabkan oleh dua sebab iaitu kerosakan fizikal dari manusia atau binatang dan serangan serangga perosak.

Berdasarkan gejala di atas, ada beberapa faktor yang perlu diambil kira seperti persekitaran selesa dan sesuai terutama dari segi lokasi serta pencahayaan, penyiraman air yang cukup mengikut keperluan serta penjagaan dari segi pembajaan dan kawalan racun perosak. Bagi penjagaan kawalan penyakit dan serangga perosak, saya lebih menekankan konsep mencegah lebih baik dari merawat.

INFO: Tip racun serangga organik.

Bahan:

  • 1 liter Air
  • 1 Sudu Besar Minyak Masak / minyak sayur
  • 1 Sudu besar sabun basuh
  • 4 – 6 Ulas bawang putih ( ditumbuk )


Langkah

  1. Masukkan minyak masak atau minyak sayur dan sabun ke dalam 1 liter air
  2. Tumbuk 4 – 6 ulas bawang putih dan masukkan ke dalam larutan tadi.
  3. Setelah dikacau , tapiskan
  4. Untuk penyemburan : campurkan 1 bahagian Larutan Stok dengan 4 bahagian air.

Saturday, March 20, 2010

TAMAN ORKID

Gubahan unik Laman Johor raih anugerah emas Floria 2009 GUBAHAN orkid yang digantung terbalik di atas para di dalam pondok kayu terbukti menjadi kelainan ditonjolkan Laman Kerajaan Negeri Johor, sehingga membolehkannya meraih anugerah Emas Festival Bunga dan Taman Putrajaya 2009 (Floria 2009) yang berlangsung dari 1 hingga 9 Ogos lalu.

Teknik gantungan yang mungkin tidak pernah dilihat sebelum ini bukan setakat menawan hati juri, malah pengunjung turut terpikat dengan keunikan berkenaan setiap kali melalui ruang yang menempatkan pameran laman jabatan kerajaan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di Floria. Lebih unik lagi, laman itu menggunakan hampir 80 peratus orkid yang didatangkan khusus dari Johor yang merangkumi pelbagai spesies orkid tempatan dan hibrid.

Bagaimanakah teknik gubahan itu dihasilkan?

Orkid yang digantung ditanam dalam pasu kecil yang kemudian dibungkus dengan plastik hitam bagi mengelakkan tanah dalam pasu jatuh. Bunga berkenaan pula disusun rapat dan digantung terbalik di atas para khas dengan pelbagai warna seakan taman tergantung di tengah laman. Bagaimanapun, orkid yang ditanam di atas tanah saja se­suai untuk menjadi hiasan gantung terbalik kerana ia tumbuh menegak manakala orkid liar yang suka me­­numpang pada dahan pokok tidak sesuai untuk penataan gaya sedemikian.

Pondok kayu dengan tiang empat di tengah-tengah nampak ringkas tetapi praktikal untuk kawasan laman yang sederhana besarnya sesuai menjadi tempat istirahat sekeluarga pada waktu petang atau ruang bermain anak kecil, juga tempat membaca di waktu petang. Bagi melengkapkan pondok serta melindungi cahaya matahari, bidai buluh diletak­kan di sisi pondok, manakala di sebelah kiri dan kanan pondok diletakkan bangku kayu serta terendak lampu kayu untuk menerangkan lampu pada waktu malam.

Ketua Juri Laman Floria 2009, Noriah Mat, berkata laman berkenaan dipilih menerima anugerah emas bukan hanya kerana keunikan orkid yang digantung terbalik semata-mata tetapi ia menepati ciri-ciri laman yang baik seperti mempunyai landskap menarik serta penca­hayaan yang sesuai. Ciri-ciri mapan juga jelas pada reka bentuk laman ber­kenaan dan kreativiti reka bentuk laman juga menyebabkan ia layak menerima anugerah emas. Selain orkid, laman berke­naan dilengkapi tumbuhan seperti paku pakis, tanduk rusa, paku pandan, palas, pokok kelapa dan beberapa spesies palma. Ciri-ciri landskap kejur termasuk batu kerikil dan sungai yang dihias berselang seli dengan pokok renek manakala landskap lembut terdiri daripada pelbagai pokok memanjat termasuk paku pakis ditanam di tepi tembok.

TAMAN RAMBAH

Taman Rekreasi Awam Rambah terletak di kuala Sungai Rambah, Kampung Rambah, di daerah Pontian. Tak jauh dari rumah saya dan tak jauh dari SMK Telok Kerang. Jaraknya adalah lebih kurang 3 kilometer sahaja. Di barat taman ini ialah Selat Melaka, di selatannya ialah Kampung Parit Bilal Laut, dan di utaranya pula ialah Kampung Rambah. Ia terletak di kuala Sungai Rambah di tepi laut Selat Melaka.

Sungai Rambah membelah dan membahagi Kampung Rambah. Jarak taman ini dari bandar Pontian hanya lebih kurang 10 km arah ke selatan (Kukup). Apabila sampai di jambatan Sungai Rambah, belok ke kanan menghala ke barat. Taman ini terletak lebih kurang 500 meter dari jalan besar Pontian-Kukup. Dulu kawasan ini hanya hutan paya bakau dan hutan nipah. Pantainya tidak ada pasir langsung, yang ada adalah selut kelodak kukup liat. Yang banyak di sini ketam dan belangkas. Sungainya bengkang-bengkok dan sempit. Sungai lurus yang ada sekarang adalah projek Pembangunan Saliran Rancangan Johor Barat pada tahun 1974 dulu. Tak sangka kawasan yang dulunya belantara kini dah jadi taman yang cantik dan menarik di tepi laut mengalahkan Taman Rekreasi Bandar Pontian yang juga terletak di tepi laut.

Penanaman pokok-pokok hiasannya tersusun kemas. Ada beberapa buah pondok rehat didirikan di sini. Satu jambatan gantung menjadi titik fokus. Terdapat juga gerai-gerai menjual makanan di bangunan yang cantik. Tak lupa juga dibina taman permainan kanak-kanak. Kuala sungai yang dulu comot kini dah bersih. Di tepi pantainya dibentengkan dengan batu-batu.

Apa yang istimewanya di taman ini?

Yang pertama ialah taman ini sememangnya cantik! Yang keduanya ialah pemandangan matahari terbenam waktu senja. Ia boleh dilihat ke arah barat di kaki langit di laut yang terbentang luas. Yang ketiganya, apabila pandangan kita dilayangkan ke arah barat daya, nun di tengah samudera terlihat Pulau Karimun milik Indonesia. Yang keempat ialah di kawasan kuala dan pantai taman ini banyak ikan sembilang. Kaki-kaki pancing selalu memancing di taman ini. Yang kelima ialah terdapat jeti di sini. Bolehlah memancing di jeti ini.Yang seterusnya ialah melihat nelayan-nelayan pantai keluar masuk ke pengkalan melalui kuala sungai di taman ini.